Mungkin Luorang Belum Baca

Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Thursday, August 16, 2012

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.4 Peratus Pada Suku Kedua





KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.
    
Bercakap kepada pemberita, Zeti berkata pada suku itu permintaan domestik melonjak 13.8 peratus berbanding 9.7 peratus berbanding suku pertama.
  
Beliau juga mengumumkan mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus daripada 4.7 peratus bagi suku pertama.
    
Zeti berkata permintaan domestik yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, manakala eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan import yang tinggi.
    
Mengenai bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pembinaan.
    
"Ini disokong oleh aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor insurans kewangan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.
  
"Pada masa ini kami mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan dalam unjuran bagi tahun ini.
  
"Kami yakin, berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK dijangka meningkat lebih tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.
  
Zeti berkata aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan  peningkatan 19.8 peratus pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.
  
"Inilah yang kami mahu berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan baharu bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek-projek baru.
  
"Semua angka ini menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, terutama oleh sektor swasta dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
  
Zeti berkata peningkatan ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.
    
Beliau berkata beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.
  
Ini termasuk projek saluran paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion, katanya.
    
"Kita juga mencatat pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ini mencetuskan aktiviti pelaburan baharu," katanya.
  
Mengenai prestasi suku kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan pertumbuhan kukuh 26.1 peratus berbanding 16.1 peratus pada suku yang lepas dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam mencatat peningkatan.
    
Beliau berkata penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12: 7.4 peratus), disokong oleh situasi pasaran buruh yang padu, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen pengguna yang meningkat.
    
"Selain itu inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka Felda selain menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, turut membantu meningkatkan perbelanjaan," katanya.
    
Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan,
katanya.
    
Menurut Zeti kadar inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada suku lepas.
  
Beliau berkata inflasi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana manakala harga daging dan sayur-sayuran turun.
  
Bagi sektor luaran, lebihan akaun semasa berkurangan pada suku kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4 peratus pendapatan negara kasar, katanya.
    

"Ini sebahagian besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah, terutama hasil pengembangan import kasar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar
menyederhana," katanya.
    
Zeti berkata akaun kewangan mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4 bilion pada suku itu, dengan kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung asing meningkat yang mengimbangi aliran keluar besih dana portfolio bukan penduduk.
   
"Dengan lebihan dalam akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran pulih untuk mencatat lebihan RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding RM7.2 bilion pada suku lepas," katanya.
    
Kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.
  
Beliau berkata ringgit sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US pada suku kedua, selain mata wang serantau utama yang lain.
    
"Ketidaktentuan krisis hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek pertumbuhan ekonomi serantau dan global menyebabkan pelabur mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran baru muncul," katanya. - Bernama

Sunday, August 5, 2012

Isu royalti minyak Kelantan : 'suspect everybody and trust nobody'


Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, telah menerima surat dari Perdana Menteri Najib meminta kerajaan Kelantan menghantar wakil untuk berbincang tentang royalti minyak yang menjadi tuntutan rakyat negeri itu sejak beberapa lama yang lalu. Jumlah tuntutan tertunggak ialah sebanyak RM7.4 billion dan sampainya surat ini menunjukkan bahawa rakyat Kelantan merupakan rakyat yang faham tentang apa yang mereka inginkan sebagai rakyat sebuah negeri yang menjadi sebahagian dari sebuah negara  Persekutuan ini.

Saya secara peribadi menerima berita ini dengan perasaan yang agak lega walaupun kita belum tahu lagi keputusan perbincangan itu jika ia benar-benar diadakan. Kita berharap perbincangan ini benar-benar melaksanakan slogan ‘janji ditepati’ yang juga dengan rasa tidak malu menggunakannya sebagai slogan hari kemerdekaan negara tahun ini.

Jika berjaya pun perbincangan itu, pembayarannya mesti berlaku sebelum pilihanraya ini kerana jika persetujuan untuk menghormati perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan Kelantan pada 27hb Mei 1975 dahulu. Perjanjian itu ditandatangani oleh YBM Tengku Razaleigh yang mewakili Petronas dengan Menteri Besar PAS, Dato' Mohammad Nasir.



Dalam perjanjian itu, Petronas akan membayar 5% daripada hasil minyak yang diperolehi di perairan negeri Kelantan berdasarkan pada harga FOB. Pembayaran itu hendaklah dilakukan dua kali setahun secara tunai, iaitu pada 1hb Mac dan 1hb September setiap tahun. Itu merupakan perjanjian yang asas di samping beberapa klausa pinggiran.

Perjanjian 2 muka kertas itu adalah perjanjian yang jelas dan amat mudah difahami oleh sesiapa dan tidak perlu pergi belajar ke London atau mana-mana untuk belajar undang-undang dahulu. Kalau sesiapa yang rajin untuk memahami perjanjian itu blog ini pernah menyiarkan perjanjian itu dan saudara boleh melihatnya di dalam archive blog ini.

Jika kerajaan persekutuan ingin menghormati perjanjian yang telah ditandatangani ini ia mesti dilaksanakan secara total, mengikut segala apa yang tertulis dalam perjanjian itu. Rakyat Kelantan begitu kecewa sejak dahulu lagi kerana sejak kepimpinan Mahathir lagi perjanjian ini tidak dihormati dan jika ia tidak dilaksanakan oleh pentadbiran Najib maka slogan ‘janji ditepati’ itu wajar dicampakkan ke dalam tong sampah sahaja.

Rakyat Kelantan begitu kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan seperti Mustapha Mohamad, Awang Adek, dan pemimpin-pemimpin dan bekas pemimpin di sana yang memihak kepada pimpinan kerajaan persekutuan untuk menyekat pembayaran royalti minyak ini kepada rakyat negeri mereka sendiri.

Tengku Razaleigh secara terbuka menyokong tuntutan rakyat Kelantan kerana hasil minyak ini adalah untuk semua rakyat Kelantan dan bukan hanya untuk ahli-ahli UMNO sahaja. Perjanjian itu adalah perjanjian dengan rakyat Kelantan yang diwakili oleh kerjaan pilihan rakyat tanpa mengira parti serta fahaman politik. Tetapi selama ini pimpinan kerajaan  persekutuan tidak ‘magnanimous’ dan menjadikan isu hasil minyak ini sebagai alat untuk melakukan ‘arm twisting’ terhadap rakyat Kelantan untuk menyokong BN.

Surat yang dihantar oleh PM Najib kepada TGNA ini merupakan satu keadaan yang baru dan saya tidak berani untuk membuat komen dengan begitu cepat. Takut-takut rakyat Kelantan dihampakan lagi seperti yang dilakukan oleh pimpinan Mahathir hingga sekarang ini. Jika perjanjian yang sangat jelas dan terang itu boleh diingkari oleh pimpinan persekutuan tidak ada sebab mereka tidak boleh melakukannya sekali lagi.

Kita tidak mahu perbincangan ini hanya sebagai ‘intrigue’ pilihanraya semata-mata tetapi benar-benar melaksanakan perjanjian itu dengan sepenuhnya. Dengan pimpinan persekutuan BN ini kita mesti mengambil sikap ‘suspect everybody dan trust nobody’. Berdasarkan pengalaman lama sikap ini harus sentiasa ada di dalam pemikiran pimpinan Kelantan.

Jika ia berjaya dilaksanakan saya ucapkan syabas terlebih dahulu kepada rakyat Kelantan kerana kekuatan dalam perjuangan mereka.

Dari Blog : Aspan Alias

Advertisements

Advertisements