Sunday, May 24, 2015

Dipaksa Jadi Peminta Sedekah Setelah Diculik


Kredit Foto Dan Berita : Sinar Harian 

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dipercayai diculik lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Masjid Muhammadi di sini, Jumaat lalu.‎

Mangsa, Aiman Kamarolzaman yang pada awalnya dibawa ke masjid oleh bapanya, Kamaruzamman Mohamad, 50, diculik lelaki terbabit ketika sedang memakai selipar selepas solat Isyak di masjid terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Aiman mendakwa dia dibawa ke satu lokasi dan kemudiannya dipaksa meminta sedekah di sebuah pasaraya di bandar ini kelmarin.

Mangsa yang meminta sedekah dalam keadaan terpaksa kemudiannya diselamatkan oleh seorang lelaki selepas melihat keadaan mangsa yang menangis dan mencurigakan dan telah menyerahkan kanak-kanak itu kepada bapanya petang kelmarin.

Aiman berkata, selepas diculik dia ditempatkan di sebuah rumah bersama beberapa kanak-kanak lain.

Menceritakan kejadian, mangsa berkata, sehari selepas dilarikan dia dibawa oleh lelaki itu ke sebuah pasaraya dan diminta meminta sedekah bersama seorang kanak-kanak lelaki lain daripada orang ramai.

"Dia (Ielaki itu) sempat mengugut saya supaya tidak melarikan diri.

"Mujurlah, ketika itu ada seorang lelaki membantu saya dan membawa saya ke kedai ayah," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, bapa mangsa  Kamarolzaman Mohamad, 50, berkata, sejurus menyedari anaknya hilang, dia cuba mencari di kawasan sekitar dan kemudian membuat laporan polis.

"Pada malam kejadian, saya tidak lena tidur kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya.

Kamarolzaman amat bersyukur, anaknya itu berjaya ditemui selamat.

"Saya akui ini akan menjadi pengajaran berguna kepada saya untuk menjaga anak dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kes disiasat di bawah Sekyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Perihal Neo Liberalisme - Part 4 (Akhir)



Penulis : Raihan Tahir

Walaupun saya ingin menulis lebih panjang berkenaan topik ini tetapi atas sebab-sebab tertentu saya akan berhenti pada part ini. Antara sebab-sebab itu anda boleh baca secara tersirat dalam post kali ini.

Model Neoliberalisme pertama yg seolah-olah berjaya adalah di Chile iaitu selepas General Pinochet, dengan sokongan USA merampas kuasa dari parti Sosialis pimpinan Presiden Dr Allende pada 11 September 1973. Presiden Dr. Allende dari Parti Sosialis pada ketika itu cuba melaksanakan pendekatan ekonomi gaya Keynesian yang menimbulkan kemarahan penyokong dan sekutunya dari Parti Komunis dan juga saingan rapatnya dari Parti Christian Democrat.

Tanpa sokongan yang kuat, Presiden Allende dgn mudah digulingkan seperti Dr Morsi di Mesir oleh General Pinochet yg baru dilantik olehnya menjadi General Tertinggi Chile. Presiden Allende terbunuh pada hari rampasan kuasa dan beribu2 pembantu dan penyokongnya dibunuh kemudiannya oleh kerajaan junta.

Pada tahun 1975 General Pinochet mula melaksanakan idea-idea neoliberalisme dan membuahkan hasil yang menarik.

Namun akhirnya berlaku masalah kewangan di akhir tahun 1980an dan seperti program Thatcherisme di UK, neoliberalisme akhirnya gagal bertahan (not sustainable).

Seperti juga program neoliberalisme gaya Thatcherisme yg ditiru Tun Dr M pada akhir 1980an di Malaysia, kegawatan ekonomi 1997-1998 tidak dapat dihalang.

Dalam kata lain, neoliberalisme hanya mampu melewatkan krisis ekonomi jika ianya gagal dipindahkan ke negara lain dengan kadar segera.

WaLlahu a'lam.

Sewa Bazar Ramadhan Di Salah Sebuah Tempat Di Melaka Sewa RM 11 Ribu..



Bulan Ramadhan bukan sahaja bulan beribadat malah bulan rezeki kepada setengah peniaga kerana menjalankan perniagaan di Bazar Ramadhan. 

Namun, agak mengejutkan apabila mengetahui bayaran tapak bazar Ramadhan Mega Melaka anjuran MBMB boleh mencecah sehingga belasan ribu ringgit.

Baca Terus Dari Blog : Media Orang Kampung 

Saturday, May 23, 2015

Perihal Neo Liberalisme - Part 3



Penulis : Raihan Tahir 

Sebelum saya ceritakan lagi sambungan kisah neoliberalisme adalah penting untuk kita memahami sedikit kaedah-kaedah teori dan praktikal dalam memahami kerangka2 sistem ekonomi.

Terdapat dua kerangka besar ekonomi iaitu yang bersifat kecil (micro) dan besar (macro). Micro-economy lebih menjurus kepada pemain-pemain dalam industri dan bagaimana mereka menyumbang dalam sistem ekonomi yg lebih besar (macro). Neoliberalisme adalah sejenis teori di peringkat macro dengan fokus kepada polisi-polisi kewangan dan fiskal (struktur perlaksanaan ekonomi).

Seperti yg saya tuliskan pada Perihal Neo Liberalisme - Part 1, saya sebenarnya hanya mulai memahami hal-hal teori dan falsafah ini ketika mengikuti kursus teori-teori di tahun pertama kajian PhD saya di UPM di GSM (kini PBS) pada tahun 2009. Ini kerana ketika itu kami diperkenalkan kepada konsep-konsep falsafah, methodologi dan jenis-jenis teori dalam pengurusan dan ekonomi (industrial, bukan macro atau micro) seperti Teori Berdasarkan Sumber cetusan Barney (Resource-based Theory, 1990). 

Sebelum dari itu, saya lebih banyak mengkaji teori-teori lain seperti hasil kerja Prof Michael Porter dari Harvard yg banyak dipengaruhi idea-idea Schumpeterian dan sekaligus menolak Resource-based Theory sebagai bukan teori tetapi hanya sebuah pandangan alam (worldview) atau kini dipanggil Resource-based View - RBV. Dalam kerangka RBV yang tersangat besar ini, idea-idea pengurusan innovasi pula biasanya dipengaruhi kerangka lain yg dipanggil Dynamic Capability View (DCV) yg bermula sejak dicadangkan oleh Prof David Teece pada tahun 1997.

Apa yang berlaku adalah pada tahun 1985, Prof Michael Porter telah dibayar oleh Kerajaan USA untuk membuat kajian selama 5 tahun, bagaimanakah negara-negara seperti Jepun dan Singapura yang tiada sumber asli mencukupi, mampu bangkit menjadi negara-negara maju tanpa menggunakan model kapitalisme versi neoliberalisme yg juga gagal membangunkan ekonomi US secara mapan (sustainable) ketika itu. Hasilnya Prof Michael Porter menerbitkan buku unggulnya "The Competitive Advantage of Nations" pada tahun 1990 yg merupakan alternatif kepada neoliberalisme.

Karya unggul Michael Porter ini juga dijunjung oleh sesetengah pihak sebagai karya agung terbaru untuk menggantikan karya klasikal Adam Smith yang bertajuk "Wealth of Nations" (1776). Ianya juga menjadi panduan kepada negara2 Eropah ditahun2 awal 2000 bagi memantapkan kerangka ekonomi meteka. Model yang berasaskan Schumpeterian ini juga dipanggil National Innovation System = NIS. 

Namun teori-teori pengurusan dan ekonomi ini bersifat industrial dan kajian saintifik (berdasarkan data) bukannya teori-teori bersifat macro-economics seperti neo-liberalisme yang lebih bersifat falsafah, tanpa jalan praktikal yang jelas. Inilah juga punca saya menolak teori-teori neoliberalisme sejak awal, sehingga saya mula mengkaji teori sosialisme!

Friday, May 22, 2015

Perihal Neo Liberalisme - Part 2 :



Penulis : Raihan Tahir

Neo-liberalisme adalah sebuah pendekatan sosial (teori masyarakat), politik dan ekonomi (socio-politico-economy) yang dibangunkan di Eropah, khasnya United Kingdom pada tahun 1930an setelah model-model ekonomi kapitalisme mengalami masalah kegawatan yg teruk yg sebenarnya menjadi punca Peperangan Dunia Pertama (1914 - 1918) dan Peperangan Dunia Kedua (1939 - 1945).

Ianya merupakan gabungan aliran liberalisme klasik dari zaman Pencahayaan Eropah (Enlightenment) khasnya dari tulisan-tulisan para ahli falsafah Eropah seperti John Locke (1632 - 1704), Rene Descartes (1596 - 1650), Jean Jacques Rousseaou (1712 -1774) dan idea-idea ekonomi klasikal seperti Adam Smith (1723 - 1790) dan David Ricardo (1772 - 1825).

Namun idea-idea yg mempunyai berbagai-bagai aliran ini gagal mendapat perhatian kerana kejayaan teori John Maynard Keynes (1883 - 1946) yang digelar Keynesian sejak selepas Perang Dunia Kedua sehingga tahun 1960an.

Neo-liberalisme menekankan idea-idea pembebasan individu, kerajaan kecil yang terhad dan pasaran bebas. Manakala Keynesian menekankan campurtangan kerajaan untuk melaksanakan pakej-pakej stimulus ekonomi bagi melancarkan enjin ekonomi (dalam kerangka ekonomi kapitalisme).

Antara aliran neoliberalisme yang kembali mendapat perhatian akibat kelembapan ekonomi di tahun-tahun 1970an adalah bawaan Freidrich Hayek (1899 -1992). Inilah teori ekonomi pegangan sebahagian pemikir di Malaysia khasnya kawan saya, saudara Wan Saiful dan organisasinya, IDEAS. 

Dalam pada itu di lapangan politik pula, pemikir atau jaguh idea-idea ini tidak lain dan tidak bukan adalah pengarah IKD, Pak Khalid Jaafar yg merupakan salah seorang penasihat utama kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Manakala idea-idea Keynesian separuh masak pula dibawakan oleh PM kita, DS Najib. Ini bertentangan dengan idea-idea ekonomi Keynesian Tun Dr. Mahathir yang turut mengalami kegawatan akibat kegagalan adaptasi ke arah Thatcherisme (dari Margaret Thatcher, PM UK 1979 -1990).

Thatcherisme juga sering dikaitkan sebagai usaha neoliberalisme dalam kerangka ekonomi kapitalisme UK waktu itu.

Pendek kata, bolehlah dikatakan punca pergolakan idea politik DSAI dan Tun M adalah pertembungan tidak langsung idea-idea Keynesian vs Neoliberalisme yg kedua-duanya dalam kerangka Kapitalisme apabila Tun Dr M mula menyedari kegagalan Thatcherisme di Britain (1990) dan juga di Malaysia (sejak 1997).

WaLlahu a'lam.

Thursday, May 21, 2015

Perihal Neo Liberalisme - Part 1 (Pengenalan)



Penulis : Raihan Tahir 

Sejak akhir akhir ini ramai org mulai berminat utk mengkaji teori-teori ekonomi dan model-modelnya. Malah ada yg bertanya kepada saya berkenaan hal-hal ini kerana menyangka saya seorang professor sebenar.

Sebelum saya menulis lebih lanjut berkenaan  neoliberalisme, adalah lebih baik jika saya terangkan dahulu latar belakang saya agar tidak disalah faham.

Saya bukanlah seorang professor di mana-mana universiti malah sebenarnya hanya seorang pelajar tua di peringkat PhD yg tidak habis-habis lagi walau sudah di tahun ke-6. Bidang pengkhususan saya adalah Pengurusan Teknologi dan bukan bidang ekonomi secara lansung.

Kali pertama saya mempelajari asas-asas ekonomi secara formal adalah pada tahun 1994 ketika di tahun kedua pengajian saya dalam bidang Kejuruteraan Kapalterbang di Imperial College, London. Kali kedua pula adalah pada tahun 2006 ketika mengikuti kursus MBA di UiTM Malaysia. 

Selebihnya adalah pengalaman saya sendiri dari berkerja secara formal semenjak tahun 1998, berkerja sambilan dan berniaga sejak tahun 1994 dan sebagainya. Oleh itu saya banyak dipengaruhi oleh teori-teori ekonomi berdasarkan industri (industrial economics), khasnya dlm bidang-bidang pembuatan (production) berdasarkan pengalaman saya dalam lebih 20 tahun berkerja dan berniaga, khasnya bidang kejuruteraan dari R&D hingga ke urusan baikpulih (maintenance) dan khidmat pelanggan (customer support and services).

Walaupun dahulu saya kuat dipengaruhi idea-idea Joseph Schumpeter (Schumpeterian) dan Karl Popper yg sedikit sebanyak pernah menjadi penyokong kepada idea-idea neoliberalisme, akhir-akhir ini saya lebih cenderung kepada idea-idea sosialisme.

Saya juga secara tidak rasmi (informal) dipengaruhi oleh idea-idea dari golongan Islamis kerana saya pernah terlibat dgn program-program usrah semenjak di  tingkatan 1 pada tahun 1986 dan lebih aktif dengan golongan ini ketika di UK di tahun-tahun 90an.

Oleh itu posisi saya pada masa ini bolehlah dikategorikan sebaga Salafi Sosialis.

WaLlahu a'lam.

Advertisements

Advertisements