Monday, August 20, 2012

Perlu Sepakat Untuk Halang LionsXII




LIMA belas pasukan tempatan perlu ‘bersepakat’ bagi memastikan piala paling berprestij dalam kancah bola sepak tempatan, Piala Malaysia tidak terlepas kepada pasukan jemputan dari Singapura, LionsXII.

Kelab dari Singapura yang sebahagian besarnya diwakili pemain kebangsaan republik itu hampir bergelar juara Liga Super sebelum terpaksa tunduk kepada Kelantan yang berjaya mempertahankan gelaran dan mereka pastinya memasang impian memburu piala terakhir yang dipertandingkan musim ini.


“Sudah pasti mereka akan menjadi pesaing pasukan lain. Mereka sudah membuktikan kemampuan dan kekuatan dengan bergelar naib juara Liga Super selain sejarah sudah membuktikan mereka adalah pasukan kedua paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia selepas Selangor,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, baru-baru ini.

Beliau yang juga naib presiden badan induk bola sepak negara itu berharap pasukan tempatan memberikan saingan sengit agar Piala Malaysia tahun ini tidak dibawa menyeberangi tambak Johor selepas kali terakhir dibawa ke republik itu pada 1994.


Tambah Hamidin, hanya pasukan yang benar-benar konsisten akan menjulang Piala Malaysia kali ini walaupun sesetengah pasukan dikatakan berada dalam kumpulan sukar.


“Walaupun berada dalam kumpulan maut, tidak cukup jika sesebuah pasukan berjaya menempah tiket ke suku akhir kerana mereka perlu konsisten untuk melepasi saingan seterusnya sebelum beraksi di final. Setiap pasukan berpeluang menjadi juara apabila mampu mencatatkan kemenangan dalam mana-mana perlawanan walaupun lawan lebih kuat.” Saingan Piala Malaysia 2012 bermula hari ini dengan Kumpulan B menjadi tumpuan apabila dianggap ‘kumpulan maut’ dengan kehadiran Kelantan, Terengganu, Kedah dan ATM manakala juara bertahan, Negeri Sembilan berada dalam Kumpulan C bersama Perak, Felda United dan Sime Darby.

LionsXII pula berdepan cabaran dua pasukan selatan tanah air, Johor dan Johor FC selain PKNS FC dalam Kumpulan A dengan juara terbanyak Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor mengetuai Kumpulan D bersama T-Team, Sarawak dan Pahang.

Tragedi Syawal : Anak Lemas Jatuh Tali Air

Sekadar Hiasan


PENDANG: Sambutan Syawal buat sebuah keluarga bertukar suram apabila anak keempat daripada lima beradik ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air Sungai Mati di Kampung Kuala Lanjut, Mukim Lesong, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 pagi apabila motosikal Honda EX5 ditunggangi Mohamad Aziz Mehad, 21, yang turut dibonceng anak saudara, Mohd Khairul Azhar Mohd Saman, 3, dalam perjalanan pulang dari kedai runcit berhampiran, sebelum terbabas dan terjunam ke dalam tali air sedalam, kira-kira satu meter.


Bagaimanapun, Khairul hanya terjatuh di tebing tali air itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat diselamatkan penduduk kampung.

Abang mangsa, Mohd Nizam, 26, berkata sebelum kejadian, arwah meminjam motosikalnya untuk mengunjungi rumah rakan sempena Aidilfitri sebelum ke kedai berhampiran bagi membeli makanan ringan buat keluarga di rumah.


Bagaimanapun, katanya, kira-kira 15 minit selepas itu, beberapa penduduk kampung memaklumkan arwah ditemui lemas di dalam tali air terbabit.


“Sebaik tiba di tali air kira-kira satu kilometer dari rumah, saya melihat arwah sudah diangkat ke tebing oleh penduduk kampung sebelum saya menahan sebuah kereta bagi menghantarnya ke hospital.

“Saya tidak mengetahui sama ada arwah masih bernyawa atau tidak kerana badannya sangat sejuk sepanjang memangkunya hingga sampai ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012 - My Metro

Tak Sempat Berhari Raya

Foto Sekadar Hiasan



PEKAN: Dua beranak yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri terbunuh selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan di Kilometer 20, Jalan Pekan-Nenasi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Khairul Azhar Hashim, 36, dari Ulu Batu 4, Temerloh, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya, Muhammad Amiruddin, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pekan (HP) Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika kejadian, dua beranak terbabit yang menaiki Perodua Viva dikatakan dalam perjalanan menghala Rompin dari Pekan untuk pulang ke kampung.


Menurutnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Proton Perdana yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu bertembung dengan kenderaan mangsa.

Katanya, akibat pertembungan itu, mangsa bersama anaknya dikatakan tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan orang ramai dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan.


“Bagaimanapun, Khairul Azhar maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di kepala manakala anak mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HP berikutan kecederaan sama.


“Pada masa sama, pemandu Proton Perdana itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar sebelum membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Trafik,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah dua beranak berkenaan sudah dituntut ahli keluarganya selepas dibedah siasat di HP, kelmarin.


Katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012 - My Metro

Advertisements

Advertisements