Thursday, August 16, 2012

Abby: 'Politik Bukan Bidang Saya'



SHAH ALAM - Penglibatan selebriti ini dalam program politik mendapat perhatian ramai sejak menyerahkan borang keahlian menyertai Pas bulan lalu. Sejak itu dia hanya banyak menjawab pandangan dan kritikan menerusi alam siber Twitter.

Selain itu pandangannya hanya dapat diketahui menerusi pentas ceramah atau forum anjuran parti politik.

Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan mendapat pelbagai reaksi berikutan penghijrahannya ke dalam arena sebagai ahli Pas.

Abby yang kini tampil dengan imej bertudung mengakui dia tidak mengambil peduli kritikan mana-mana pihak kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.

"Saya memang tidak ada masalah kerana apa yang dikhabarkan itu tidak betul. Fitnah," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Seri Muda dekat sini malam tadi.

Apabila ditanya soal politik, Abby, antara selebriti yang aktif di dunia Twitter dan hanya dapat dipetik perbincangannya menerusi laman itu sejak lebih sebulan lalu, menegaskan bahawa dia menolak kemungkinan penglibatannya dalam arena politik sebagai "ahli politik" secara aktif.

"Saya tidak minat langsung nak jadi ahli politik. Politik bukan bidang saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan sebab saya mementingkan politik sangat.

"Saya lebih terlibat dari segi kemanusiaan. Apa yang tidak adil. Rakyat tidak dapat hak dari segi keadilan. Perkara-perkara ini semua memang berkait dengan politik kerana kuasa pemimpin itu hanya dari jalan politik," jelasnya.

"Saya memang tahu tahap kemampuan saya. Saya masih sayangkan karier saya. Saya suka dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika ada rezeki, saya memang mahu kembali berlakon dengan mengikut undang-undang ALLAH," kata pelakon popular Gerak Khas ini.

Sementara itu, mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung artis bertudung sukar mendapat tawaran dalam bidang seni dan hiburan, beliau menjelaskan maksud sebenar kata-katanya itu.


"Ya, saya akui sebelum ini saya memang pernah mengeluarkan kenyataan itu tetapi saya kata untuk artis yang sudah berhijrah, yang memakai tudung, yang bersama pembangkang, memang susah untuk mendapat tawaran daripada kerajaan," tegasnya.

"Saya tahu rezeki itu daripada ALLAH tetapi kerajaan kita memang macam itu. Tak kira artis ke, cikgu ke, imam ke, kalau menentang kerajaan memang akan diberhentikan.

"Ini yang patut dijelaskan bukan saya kata yang bertudung tak boleh kerja dengan kerajaan. Perkara ini sudah dipusingkan hingga jadi lain," katanya mengulas lanjut.

Apabila soal kahwin disentuh, Abby hanya tergelak.

Dia yang dilaporkan berbaik semula dengan bekas suaminya, Norman Hakim dan isteri barunya, Memey awal bulan ini memberitahu:

"Sejak saya bersama pembangkang, sudah tiga kali saya 'dikahwinkan' dan ada juga yang percaya."

"Perkahwinan itu tidak pernah berlaku dan saya tidak kenal langsung dengan siapa saya 'dikahwinkan'," jelas Abby yang mengaku hatinya masih belum berpunya.

"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi kalau ia berlaku, itu kuasa Tuhan," katanya, yang sebelum ini turut menafikan spekulasi bahawa akan merujuk semula dengan Norman. Norman juga pernah mengulas isu yang sama kepada Sinar Harian Online lebih dua minggu lalu.

Abby juga berkata, ketiga-tiga anaknya akan menyambut Aidilfitri bersama Norman dan Memey di Kuantan, Pahang.

Awal minggu ini Abby ada menulis menerusi Twitter bahawa Norman memang ada mengajaknya menyambut Aidilfitri di kampungnya. - SinarHarian

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.4 Peratus Pada Suku Kedua





KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.
    
Bercakap kepada pemberita, Zeti berkata pada suku itu permintaan domestik melonjak 13.8 peratus berbanding 9.7 peratus berbanding suku pertama.
  
Beliau juga mengumumkan mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus daripada 4.7 peratus bagi suku pertama.
    
Zeti berkata permintaan domestik yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, manakala eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan import yang tinggi.
    
Mengenai bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pembinaan.
    
"Ini disokong oleh aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor insurans kewangan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.
  
"Pada masa ini kami mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan dalam unjuran bagi tahun ini.
  
"Kami yakin, berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK dijangka meningkat lebih tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.
  
Zeti berkata aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan  peningkatan 19.8 peratus pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.
  
"Inilah yang kami mahu berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan baharu bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek-projek baru.
  
"Semua angka ini menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, terutama oleh sektor swasta dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
  
Zeti berkata peningkatan ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.
    
Beliau berkata beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.
  
Ini termasuk projek saluran paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion, katanya.
    
"Kita juga mencatat pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ini mencetuskan aktiviti pelaburan baharu," katanya.
  
Mengenai prestasi suku kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan pertumbuhan kukuh 26.1 peratus berbanding 16.1 peratus pada suku yang lepas dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam mencatat peningkatan.
    
Beliau berkata penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12: 7.4 peratus), disokong oleh situasi pasaran buruh yang padu, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen pengguna yang meningkat.
    
"Selain itu inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka Felda selain menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, turut membantu meningkatkan perbelanjaan," katanya.
    
Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan,
katanya.
    
Menurut Zeti kadar inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada suku lepas.
  
Beliau berkata inflasi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana manakala harga daging dan sayur-sayuran turun.
  
Bagi sektor luaran, lebihan akaun semasa berkurangan pada suku kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4 peratus pendapatan negara kasar, katanya.
    

"Ini sebahagian besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah, terutama hasil pengembangan import kasar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar
menyederhana," katanya.
    
Zeti berkata akaun kewangan mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4 bilion pada suku itu, dengan kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung asing meningkat yang mengimbangi aliran keluar besih dana portfolio bukan penduduk.
   
"Dengan lebihan dalam akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran pulih untuk mencatat lebihan RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding RM7.2 bilion pada suku lepas," katanya.
    
Kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.
  
Beliau berkata ringgit sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US pada suku kedua, selain mata wang serantau utama yang lain.
    
"Ketidaktentuan krisis hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek pertumbuhan ekonomi serantau dan global menyebabkan pelabur mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran baru muncul," katanya. - Bernama

Pelik! Sekumpulan Labah-Labah Menyerang Australia Selepas Banjir.

Fenomena sekumpulan labah-labah menyerang Australia selepas banjir ini sangat luar biasa. Jika lihat pada gambar, sebuah ladang juga turut terkena tempiasnya apabila labah-labah membina sarangnya meliputi hampir semua permukaan. Jom lihat gambar di bawah ini.









Melayukini.net - Subhanallah! Kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Fenomena ini memang sungguh luar biasa. Jika ia berlaku di hadapan mata kita, mungkin timbul juga perasaan takut. Manalah tahu, mungkin labah-labah ini berbisa ataupun tidak. Walaubagaimanapun, sarang-sarang labah yang dibina ini sungguh unik sekali.

Punch Gunalan Sumber Inspirasi Atlet Muda




BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Punch Gunalan merupakan sumber inspirasi kepada peminat sukan itu di Malaysia dan perlu dicontohi pemain badminton muda negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, negara kehilangan seorang tokoh sukan yang banyak berjasa kepada pembangunan sukan badminton dan merupakan contoh pemain badminton cemerlang dan konsisten.

"Walaupun sudah tiada, semangat beliau menjadi inspirasi kepada barisan atlet muda yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Punch Gunalan di kediaman legenda sukan badminton negara itu, di sini hari ini.

Ahmad Shabery turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) kepada keluarga mendiang.

Punch Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya, pagi semalam akibat barah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong pula menyifatkan mendiang bukan sahaja atlet hebat tetapi personaliti yang berjaya menerajui pembangunan badminton negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, Ng Chin Chai berkata, Punch Gunalan bukan sahaja atlet badminton yang cemerlang malah individu serba boleh.

"Saya dan Punch Gunalan dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan ketua pengawas sekolah. Saya juga ketua pengawas tetapi kami daripada generasi berlainan," kata Ng.

Punch Gunalan melonjakkan nama Malaysia di persada badminton antarabangsa dengan beberapa kejayaan di kejohanan berprestij seperti All England, Piala Thomas dan Sukan Asia.

Pada 1970, Punch Gunalan dengan pasangan beregunya Ng Boon Bee mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Mendiang merupakan Setiausaha Kehormat BAM dari 1985 hingga 1997 dan jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia ialah sebagai Naib Presiden pada 2005. - Bernama

Tuesday, August 14, 2012

Celcom Permudah Bayaran Zakat




PENGGUNA rangkaian telekomunikasi Celcom kini boleh menjalankan tanggungjawab membayar zakat fitrah secara lebih mudah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dikenali sebagai Celcom M-Fitrah, pengendalinya, Celcom Axiata Berhad merupakan syarikat telekomunikasi mobiliti pertama negara yang diberi kuasa sebagai agen memungut bayaran zakat fitrah.

Pelaksanaan operasinya akan melibatkan pengguna-pengguna di negeri Selangor, Melaka, Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sabah.

Celcom M-Fitrah terbuka kepada pelanggan pra-bayar dan pasca bayar Celcom yang mana nilai bayaran zakat fitrah akan dicaj pada bil atau ditolak daripada nilai kredit.

Untuk membuat pembayaran, pelanggan Celcom perlu menaip FITRAH dan dihantar ke 21999.

Mereka kemudian dikehendaki memilih negeri dan menyatakan maklumat seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan serta butiran individu di bawah jagaan yang ingin dibayarkan bersama.

Seterusnya, mereka akan menerima SMS untuk mengesahkan nilai yang akan dicaj sebelum mendapat resit bayaran daripada Majlis Agama Islam Negeri.

Menariknya, untuk setiap SMS yang dihantar atau diterima, tiada sebarang caj dikenakan.

Selepas selesai pembayaran, pelanggan perlu melayari laman web mfitrah.celcom.net.my untuk tujuan pengesahan alamat e-mel.

Menurut Ketua Operasi dan Data Termaju Celcom Axiata Berhad, Afizulazha Abdullah, Celcom sentiasa menyediakan platform terbaik bagi pengguna Muslim melaksanakan tuntutan dan kewajipan mereka sebagai seorang Islam.

''Celcom M-Fitrah merupakan medium pembayaran alternatif untuk mereka yang tiada masa melawat pusat pungutan zakat, individu kelainan upaya serta sesiapa sahaja yang yang ingin memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah.

''Keseluruhan transaksi M-Fitrah sebenarnya hanya mengambil masa kurang daripada tiga minit,'' katanya.

Beliau memberitahu lagi, setiap tahun, Celcom akan bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor untuk menyediakan kemudahan tersebut di mana pada 2010, syarikat itu berjaya menjadi agen zakat dengan kutipan tertinggi di kalangan institusi korporat di Selangor.

''Oleh kerana itu, perkhidmatan M-Fitrah menjadi semakin popular dan pengguna Muslim harus mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk melaksanakan urusan wajib pembayaran zakat fitrah secara lebih mudah,'' jelas Afizulazha.

Nota: Macam macam .. bih tu aqad dan do'a cemana ??

Ujian Sains Terhadap Solat



KAJIAN saintifik menunjukkan ibadah solat tarawih yang dilakukan sekurang-kurangnya lapan rakaat dan tiga rakaat witir mampu mengurangkan berat badan sehingga 10 kilogram bagi sesetengah individu.

Penyelidikan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), mendapati solat tarawih dan puasa dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak sekali gus merendahkan lemak dan paras glukosa dalam darah.

Kajian yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS), UM, Profesor Ir. Fatimah Ibrahim itu juga menunjukkan solat sunat tambahan dan diet seimbang boleh dijadikan kaedah untuk seseorang individu menguruskan badan serta mengawal komposisi badan.

Penyelidikan yang dijalankan juga mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia.

"Bagaimanapun segalanya hanya boleh dicapai dengan menunaikan solat secara sempurna dan tertib," katanya semasa ditemui di Klinik Solat, Makmal Kejuruteraan Klinikal UM, Kuala Lumpur.

Beliau menambah solat lima waktu amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental serta emosi seseorang.

Kewajipan bersolat lima kali sehari semalam ke atas umat Islam bermula sejak Rasulullah SAW diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.

Umat Islam perlu mencapai solat yang sempurna bagi mendapatkan faedah bukan saja di akhirat tetapi juga di dunia.

"Faedah di akhirat dari segi pahala manakala dunia pula dari sudut kesihatan yang baik," katanya.

KajianJusteru beliau menjalankan kajian bagaimana mencapai solat sempurna seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Menurutnya, kajian menunjukkan solat yang dilakukan dengan pergerakan dan postur Rasulullah SAW dibuktikan secara saintifik amat baik untuk kesihatan.

Tetapi pergerakan yang tidak betul atau tidak sempurna akan memberikan kesan terhadap kesihatan.

Kajian yang dilakukan bermula 2005 melalui kaji selidik dan uji kaji mendapati mereka yang mengikuti lima tabiat lazim Rasulullah iaitu tetap bersolat, faham bacaan, solat jemaah atau sendirian, rukuk 90 darjah dan kedudukan kaki yang betul semasa sujud dan duduk tahiyat mempunyai kesihatan yang baik.

Prof. Fatimah berkata, untuk mendapat hasil tepat, subjek kajian menjalani ujian kesihatan menyeluruh sebelum dan selepas menunaikan solat sunat dua rakaat.

"Hasil kajian itu menunjukkan subjek yang menepati lima perkara tadi bukan saja lebih sihat bahkan lebih tenang selepas menunaikan solat," katanya.

Menyentuh mengenai solat tarawih berjemaah sepanjang Ramadan, Prof. Fatimah berkata, sebelum ini kajian yang dijalankan mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu mengimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya pertukaran cas positif dan negatif yang mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam tubuh," katanya.

Dari sudut fizikal, pergerakan solat seperti berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Otot-ototIa melibatkan pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik yang akan meningkatkan fungsi dan kekuatan otot.

Kajian menunjukkan, solat lima kali sehari semalam juga dapat mengurangkan lemak dalam badan.

Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu.

Justeru ia dapat mengelakkan penyakit jantung, stres, kolesterol dan kegemukan.

Sehingga kini Prof. Fatimah telah menghasilkan empat buah buku berkaitan solat iaitu Solat: Kebaikan dari Perspektif Sains (Edisi Melayu), Salat: Benefits from Science Perspective (Edisi Inggeris), Pencegahan Sakit Jantung dari Perspektif Holistik, Sakit Pinggang Kaedah Rawatan melalui Prinsip Pemulihan serta Postur dan Pergerakan Solat, Senaman Regangan dan Pergerakan Solat.

Semua buku berkenaan dihasilkan dengan kerjasama pakar perubatan berkaitan bidang masing-masing.

Prof. Fatimah bakal menghasilkan tiga buah buku lagi iaitu Kesan Postur dan Pergerakan Solat Kesihatan Badan, Solat sebagai Terapi Minda dan Mati Pucuk Kaedah Rawatan Melalui Prinsip pemulihan serta postur dan pergerakan solat.

Pembaca yang berminat boleh mendapatkan maklumat berkaitan sains solat di Perkhidmatan Sains Solat anjuran Makmal Kejuruteraan Klinikal, Jabatan Kejuruteraan, UM dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan mendail 03-79676878, 79676818 atau faks: 03-79676878/4579 atau e-mel: sainssolat.um@gmaiil.com atau layari laman web: http://sainssolat.com.

Monday, August 13, 2012

Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali




KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.   

Bapanya, Massimo memberitahu Bernama dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

"Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya," katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.

Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.- Bernama

Abby Abadi: Banyak publisiti, fitnah selepas hijrah




BATU CAVES - Terlalu banyak publisiti dan fitnah yang dilemparkan kepada pelakon popular Gerak Khas, Abby Abadi selepas menyertai Pas berbanding semasa bergiat aktif dalam industri hiburan.

Hal itu diakui sendiri oleh bekas ahli kumpulan Elite itu ketika menjadi ahli panel dalam program Forum Perdana di Kompleks Muhibbah, Taman Boltan di sini, malam semalam.

Katanya, ramai pihak mempertikaikan penghijrahan yang dibuat kepada imej bertudung disebabkan oleh Pas dan bukan kerana ALLAH.

“Hidayah yang diturunkan ke atas saya bukan hidayah sesat dan setuju menyertai Pas kerana ingin sama-sama membantu menyebar dakwah.

“Selepas menyertai Pas, kefahaman terhadap Islam lebih mendalam dan diakui bahawa sebelum penghijrahan banyak melakukan kesilapan serta tidak mengikut syariat Islam secara keseluruhan,” katanya di hadapan 200 orang tetamu yang hadir pada majlis agama itu.

Beliau berkata, Jika diberi pilihan masuk syurga atau masuk televisyen, saya pilih masuk syurga walaupun diakui masih cintakan bidang lakonan.

Katanya, perubahan imejnya juga banyak memberi cabaran terutama daripada rakan seperjuangan yang memandang sinis tidak kurang juga menganggap perubahannya sekarang tidak secara keseluruhan atau untuk mendapat publisiti murahan.

“Pelbagai fitnah dilemparkan termasuk saya telah berkahwin dengan seorang ahli politik parti Pas dan tidak faham kenapa penghijrahannya dilihat dari sudut negatif.

“Hakikatnya saya tidak suka dengan cara hidup sekarang iaitu berdakwah secara terbuka tetapi yakin pilihan yang dibuat adalah tepat sebagai platform menjelaskan bahawa Islam dan politik sememangnya tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Samun Ibu Sendiri

Sekadar Hiasan



PETALING JAYA: Anak setan. Itulah gelaran layak diberikan kepada seorang remaja berusia 18 tahun apabila bukan saja mengugut untuk membakar rumahnya sendiri sebaliknya memecah masuk bilik ibunya sebelum ‘menyamun’ barang kemas dan wang tunai dianggarkan lebih RM2,000 dalam kejadian di rumah mereka di Seksyen 6, di sini Sabtu lalu.

Remaja terbabit bertindak demikian selepas keengganan ibunya berusia 53 tahun memberikan wang kepadanya yang mahu digunakannya untuk berjoli bersama rakan-rakannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, remaja terbabit masuk ke bilik ibunya bagi meminta wang.

Menurut sumber, remaja terbabit memberitahu mahu keluar dan pergi membeli baju raya, namun ibunya mengesyaki anaknya itu mahu berjoli bersama rakannya.


“Disebabkan itu, wanita terbabit tidak memberikan wang kepada anaknya itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan. - HMetro

Pelik! Pokok Pisang Keluarkan Darah




Pelik! Pokok Pisang Keluarkan Darah | Secara lazimnya, pokok pisang ataupun di bahagian batangnya, jika ditoreh ia akan mengeluarkan getah yang berwarna putih kejernihan. Namun demikian terdapat sepohon pokok pisang di Bojonegoro, Jawa Timur Indonesia mengeluarkan buah yang kelihatan seperti nenas manakala pohonnya mengeluarkan cecair berwarna merah seperti darah apabila ia ditusuk dengan benda tajam.

Sudah seminggu rumah saya didatangi ramai orang yang ingin menyaksikan pohon pisang aneh ini,” kata pemilik pohon itu, Sutrisno kepada wartawan Detik.com ketika ditemui dirumahnya.

Bahagian tengah pohon itu dibalut dengan kain berwarna putih yang digunakan untuk membalut mayat bagi mengelak orang ramai menusuknya semata-mata untuk melihat cecair berwarna merah keluar.

Menurut Sutrisno, pohon pisang itu tidak menunjukkan sebarang tanda keganjilan apabila ia masih kecil.

Namun, selepas pohon itu membesar, ia mula mengeluarkan buah aneh seperti nanas dan mengeluarkan cecair berwarna merah apabila ditusuk.

Menurutnya, sebulan sebelum pohon pisang itu mengeluarkan cecair berwarna merah, dia bermimpi air telaga di rumahnya melimpah.

Melayukini.net - Penemuan seperti ini jika tidak dikawal oleh penduduk setempat akan menyebabkan orang luar akan menganggap ia sebagai tempat untuk pemujaan. Dalam erti kata lain, akan terlalu taksub dengan perkara tersebut. Sama seperti kes-kes yang lain, mudah terpengaruh dengan fahaman yang boleh merosakkan akidah.

Advertisements

Advertisements