Thursday, August 16, 2012

Punch Gunalan Sumber Inspirasi Atlet Muda

Share ngan kengkawan ?

Suka Entri Ni?




BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Punch Gunalan merupakan sumber inspirasi kepada peminat sukan itu di Malaysia dan perlu dicontohi pemain badminton muda negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, negara kehilangan seorang tokoh sukan yang banyak berjasa kepada pembangunan sukan badminton dan merupakan contoh pemain badminton cemerlang dan konsisten.

"Walaupun sudah tiada, semangat beliau menjadi inspirasi kepada barisan atlet muda yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Punch Gunalan di kediaman legenda sukan badminton negara itu, di sini hari ini.

Ahmad Shabery turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) kepada keluarga mendiang.

Punch Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya, pagi semalam akibat barah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong pula menyifatkan mendiang bukan sahaja atlet hebat tetapi personaliti yang berjaya menerajui pembangunan badminton negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, Ng Chin Chai berkata, Punch Gunalan bukan sahaja atlet badminton yang cemerlang malah individu serba boleh.

"Saya dan Punch Gunalan dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan ketua pengawas sekolah. Saya juga ketua pengawas tetapi kami daripada generasi berlainan," kata Ng.

Punch Gunalan melonjakkan nama Malaysia di persada badminton antarabangsa dengan beberapa kejayaan di kejohanan berprestij seperti All England, Piala Thomas dan Sukan Asia.

Pada 1970, Punch Gunalan dengan pasangan beregunya Ng Boon Bee mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Mendiang merupakan Setiausaha Kehormat BAM dari 1985 hingga 1997 dan jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia ialah sebagai Naib Presiden pada 2005. - Bernama

Luorang mungkin belum baca

0 comments:

Post a Comment

Advertisements

Advertisements