Mungkin Luorang Belum Baca

Showing posts with label Figura. Show all posts
Showing posts with label Figura. Show all posts

Thursday, August 16, 2012

Abby: 'Politik Bukan Bidang Saya'



SHAH ALAM - Penglibatan selebriti ini dalam program politik mendapat perhatian ramai sejak menyerahkan borang keahlian menyertai Pas bulan lalu. Sejak itu dia hanya banyak menjawab pandangan dan kritikan menerusi alam siber Twitter.

Selain itu pandangannya hanya dapat diketahui menerusi pentas ceramah atau forum anjuran parti politik.

Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan mendapat pelbagai reaksi berikutan penghijrahannya ke dalam arena sebagai ahli Pas.

Abby yang kini tampil dengan imej bertudung mengakui dia tidak mengambil peduli kritikan mana-mana pihak kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.

"Saya memang tidak ada masalah kerana apa yang dikhabarkan itu tidak betul. Fitnah," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Seri Muda dekat sini malam tadi.

Apabila ditanya soal politik, Abby, antara selebriti yang aktif di dunia Twitter dan hanya dapat dipetik perbincangannya menerusi laman itu sejak lebih sebulan lalu, menegaskan bahawa dia menolak kemungkinan penglibatannya dalam arena politik sebagai "ahli politik" secara aktif.

"Saya tidak minat langsung nak jadi ahli politik. Politik bukan bidang saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan sebab saya mementingkan politik sangat.

"Saya lebih terlibat dari segi kemanusiaan. Apa yang tidak adil. Rakyat tidak dapat hak dari segi keadilan. Perkara-perkara ini semua memang berkait dengan politik kerana kuasa pemimpin itu hanya dari jalan politik," jelasnya.

"Saya memang tahu tahap kemampuan saya. Saya masih sayangkan karier saya. Saya suka dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika ada rezeki, saya memang mahu kembali berlakon dengan mengikut undang-undang ALLAH," kata pelakon popular Gerak Khas ini.

Sementara itu, mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung artis bertudung sukar mendapat tawaran dalam bidang seni dan hiburan, beliau menjelaskan maksud sebenar kata-katanya itu.


"Ya, saya akui sebelum ini saya memang pernah mengeluarkan kenyataan itu tetapi saya kata untuk artis yang sudah berhijrah, yang memakai tudung, yang bersama pembangkang, memang susah untuk mendapat tawaran daripada kerajaan," tegasnya.

"Saya tahu rezeki itu daripada ALLAH tetapi kerajaan kita memang macam itu. Tak kira artis ke, cikgu ke, imam ke, kalau menentang kerajaan memang akan diberhentikan.

"Ini yang patut dijelaskan bukan saya kata yang bertudung tak boleh kerja dengan kerajaan. Perkara ini sudah dipusingkan hingga jadi lain," katanya mengulas lanjut.

Apabila soal kahwin disentuh, Abby hanya tergelak.

Dia yang dilaporkan berbaik semula dengan bekas suaminya, Norman Hakim dan isteri barunya, Memey awal bulan ini memberitahu:

"Sejak saya bersama pembangkang, sudah tiga kali saya 'dikahwinkan' dan ada juga yang percaya."

"Perkahwinan itu tidak pernah berlaku dan saya tidak kenal langsung dengan siapa saya 'dikahwinkan'," jelas Abby yang mengaku hatinya masih belum berpunya.

"Buat masa ini, saya tidak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat tetapi kalau ia berlaku, itu kuasa Tuhan," katanya, yang sebelum ini turut menafikan spekulasi bahawa akan merujuk semula dengan Norman. Norman juga pernah mengulas isu yang sama kepada Sinar Harian Online lebih dua minggu lalu.

Abby juga berkata, ketiga-tiga anaknya akan menyambut Aidilfitri bersama Norman dan Memey di Kuantan, Pahang.

Awal minggu ini Abby ada menulis menerusi Twitter bahawa Norman memang ada mengajaknya menyambut Aidilfitri di kampungnya. - SinarHarian

Punch Gunalan Sumber Inspirasi Atlet Muda




BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Punch Gunalan merupakan sumber inspirasi kepada peminat sukan itu di Malaysia dan perlu dicontohi pemain badminton muda negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, negara kehilangan seorang tokoh sukan yang banyak berjasa kepada pembangunan sukan badminton dan merupakan contoh pemain badminton cemerlang dan konsisten.

"Walaupun sudah tiada, semangat beliau menjadi inspirasi kepada barisan atlet muda yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Punch Gunalan di kediaman legenda sukan badminton negara itu, di sini hari ini.

Ahmad Shabery turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) kepada keluarga mendiang.

Punch Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby di Subang Jaya, pagi semalam akibat barah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong pula menyifatkan mendiang bukan sahaja atlet hebat tetapi personaliti yang berjaya menerajui pembangunan badminton negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, Ng Chin Chai berkata, Punch Gunalan bukan sahaja atlet badminton yang cemerlang malah individu serba boleh.

"Saya dan Punch Gunalan dari sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau merupakan ketua pengawas sekolah. Saya juga ketua pengawas tetapi kami daripada generasi berlainan," kata Ng.

Punch Gunalan melonjakkan nama Malaysia di persada badminton antarabangsa dengan beberapa kejayaan di kejohanan berprestij seperti All England, Piala Thomas dan Sukan Asia.

Pada 1970, Punch Gunalan dengan pasangan beregunya Ng Boon Bee mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel di Edinburgh, Scotland.

Mendiang merupakan Setiausaha Kehormat BAM dari 1985 hingga 1997 dan jawatan terakhirnya dalam badan sukan badminton Malaysia ialah sebagai Naib Presiden pada 2005. - Bernama

Monday, August 13, 2012

Remaja Malaysia sertai kelab bola sepak Itali




KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.   

Bapanya, Massimo memberitahu Bernama dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

"Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya," katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.

Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.- Bernama

Abby Abadi: Banyak publisiti, fitnah selepas hijrah




BATU CAVES - Terlalu banyak publisiti dan fitnah yang dilemparkan kepada pelakon popular Gerak Khas, Abby Abadi selepas menyertai Pas berbanding semasa bergiat aktif dalam industri hiburan.

Hal itu diakui sendiri oleh bekas ahli kumpulan Elite itu ketika menjadi ahli panel dalam program Forum Perdana di Kompleks Muhibbah, Taman Boltan di sini, malam semalam.

Katanya, ramai pihak mempertikaikan penghijrahan yang dibuat kepada imej bertudung disebabkan oleh Pas dan bukan kerana ALLAH.

“Hidayah yang diturunkan ke atas saya bukan hidayah sesat dan setuju menyertai Pas kerana ingin sama-sama membantu menyebar dakwah.

“Selepas menyertai Pas, kefahaman terhadap Islam lebih mendalam dan diakui bahawa sebelum penghijrahan banyak melakukan kesilapan serta tidak mengikut syariat Islam secara keseluruhan,” katanya di hadapan 200 orang tetamu yang hadir pada majlis agama itu.

Beliau berkata, Jika diberi pilihan masuk syurga atau masuk televisyen, saya pilih masuk syurga walaupun diakui masih cintakan bidang lakonan.

Katanya, perubahan imejnya juga banyak memberi cabaran terutama daripada rakan seperjuangan yang memandang sinis tidak kurang juga menganggap perubahannya sekarang tidak secara keseluruhan atau untuk mendapat publisiti murahan.

“Pelbagai fitnah dilemparkan termasuk saya telah berkahwin dengan seorang ahli politik parti Pas dan tidak faham kenapa penghijrahannya dilihat dari sudut negatif.

“Hakikatnya saya tidak suka dengan cara hidup sekarang iaitu berdakwah secara terbuka tetapi yakin pilihan yang dibuat adalah tepat sebagai platform menjelaskan bahawa Islam dan politik sememangnya tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Saturday, August 11, 2012

Pandalela Dijanjikan Habuan Oleh Kerajaan Negeri Sarawak



KUCHING: Sarawak menjanjikan habuan kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform di Olimpik London 2012 sebagai penghargaan kepadanya.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mengumumkan perkara itu berkata, bagaimanapun bentuk dan jumlah insentif kepada anak jati Sarawak itu akan ditentukan kemudian.

“Saya akan bercakap mengenai perkara ini dengan beliau (Pandelela) sendiri apabila beliau pulang nanti.

“Saya berasa bangga sekali kerana dapat melihat anak tempatan kita dapat meraih pingat gangsa di peringkat Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Roadmap Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang menghadi-ahkan pingat kedua Sukan Olimpik 2012 London kepada kontinjen Malaysia selepas meraih gangsa dalam acara 10 meter platform wanita akhir, lewat malam semalam.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata sementara pingat perak dimiliki penerjun Australia, Brittany Broben dengan 366.50 mata.

Menurut Taib, kejayaan yang ditunjukkan Pandelela itu diharap menjadi satu inspirasi kepada pembangunan sukan Sarawak pada masa akan datang.

Beliau percaya, Sarawak mempunyai ramai potensi dalam bidang sukan namun ia perlu disertai usaha dengan merekrut secara kon¬sisten dari sekolah-sekolah khasnya di luar bandar.

“Kita perlu berusaha lebih gigih lagi dan saya percaya apabila ini sudah berjaya, kita mampu menjalankan program pembangunan sukan yang komprehensif pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) turut merancang sambutan besar-besaran kepada Pandelela sejurus sahaja atlet itu pulang.

Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik berkata kepulangan Pandelela nanti akan disambut dengan ‘cara dan gaya Bidayuh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching atas kemenangan membawa pulang pingat gangsa Olimpik.

Ik Pahon berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat sebagai persediaan kepada sambutan besar-besaran itu.

“Kami berbangga dengan pencapaian beliau. Bukan sahaja kebanggaan kepada negara tetapi juga kepada negeri dan lebih penting kepada masyarakat Bidayuh.

“Atas sebab itu, Pandelela akan diberikan sambutan besar-besaran oleh DBNA dengan cara dan gaya Bidayuh,” katanya.

Ik Pahon yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan juga berkata, DBNA menjangkakan akan memberi ganjaran kewangan kepada Pandelela daripada DBNA sendiri.

Beliau menjelaskan perkara itu telah dibincangkan bersama ahli-ahli exco dan pemimpin Bidayuh lain.
Pencapaian Pandelela itu sekali gus meletakkan penerjun itu sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik.


Thursday, August 9, 2012

Olimpik: Pandelela Mara Ke Final


Khamis 9 Ogos 2012. LONDON: Penerjun negara, Pandelela Rinong Anak Pamg mara ke peringkat akhir selepas menduduki tempat kelima dalam saingan separuh akhir acara 10m platform wanita Sukan Olimpik 2012.

Dalam acara diadakan di Pusat Akuatik di sini pada Khamis, penerjun berusia 19 tahun dari Sarawak itu mengumpul 352.50 mata untuk layak bersaing di pentas akhir yang akan berlangsung pukul 2 pagi waktu Malaysia pada Jumaat.

Selepas menduduki tempat kedua pada pusingan awal Rabu, Pandelela yangberaksi buat kali kedua pada temasya Olimpik, gagal beraksi baik pada terjunanpertama hari ini iaitu 'forward 3 1/2 somersault' dan keempat melibatkan 'Inward3 1/2 somersault'.

Beliau mengutip, masing-masing 67.50 dan 67.20 mata bagi kedua-dua disiplin tersebut.

Penerjun China, Chen Ruolin masih mendahului acara itu dengan kutipan 407.25 mata.

Hanya 12 penerjun teratas akan beraksi di peringkat akhir. - BERNAMA

Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Muncul Berhijab



KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.

Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini.

“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.

“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya kepada mStar Online pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.

Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.

Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah.

Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet.

"Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.

"Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.

"Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni.

*******

Nota: Ermm .. Janggal rasanya kalau bertudung kemudian lepak dalam disko. Lebih baik beliau dihalang masuk kerana itu boleh menghindarkan fitnah yang lebih besar kepada golongan hawa yang bertudung. Selebihnya, no further comments.

Advertisements

Advertisements