Saturday, August 11, 2012

Pandalela Dijanjikan Habuan Oleh Kerajaan Negeri Sarawak

Share ngan kengkawan ?

Suka Entri Ni?



KUCHING: Sarawak menjanjikan habuan kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform di Olimpik London 2012 sebagai penghargaan kepadanya.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mengumumkan perkara itu berkata, bagaimanapun bentuk dan jumlah insentif kepada anak jati Sarawak itu akan ditentukan kemudian.

“Saya akan bercakap mengenai perkara ini dengan beliau (Pandelela) sendiri apabila beliau pulang nanti.

“Saya berasa bangga sekali kerana dapat melihat anak tempatan kita dapat meraih pingat gangsa di peringkat Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Roadmap Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang menghadi-ahkan pingat kedua Sukan Olimpik 2012 London kepada kontinjen Malaysia selepas meraih gangsa dalam acara 10 meter platform wanita akhir, lewat malam semalam.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata sementara pingat perak dimiliki penerjun Australia, Brittany Broben dengan 366.50 mata.

Menurut Taib, kejayaan yang ditunjukkan Pandelela itu diharap menjadi satu inspirasi kepada pembangunan sukan Sarawak pada masa akan datang.

Beliau percaya, Sarawak mempunyai ramai potensi dalam bidang sukan namun ia perlu disertai usaha dengan merekrut secara kon¬sisten dari sekolah-sekolah khasnya di luar bandar.

“Kita perlu berusaha lebih gigih lagi dan saya percaya apabila ini sudah berjaya, kita mampu menjalankan program pembangunan sukan yang komprehensif pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) turut merancang sambutan besar-besaran kepada Pandelela sejurus sahaja atlet itu pulang.

Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik berkata kepulangan Pandelela nanti akan disambut dengan ‘cara dan gaya Bidayuh’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching atas kemenangan membawa pulang pingat gangsa Olimpik.

Ik Pahon berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat sebagai persediaan kepada sambutan besar-besaran itu.

“Kami berbangga dengan pencapaian beliau. Bukan sahaja kebanggaan kepada negara tetapi juga kepada negeri dan lebih penting kepada masyarakat Bidayuh.

“Atas sebab itu, Pandelela akan diberikan sambutan besar-besaran oleh DBNA dengan cara dan gaya Bidayuh,” katanya.

Ik Pahon yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan juga berkata, DBNA menjangkakan akan memberi ganjaran kewangan kepada Pandelela daripada DBNA sendiri.

Beliau menjelaskan perkara itu telah dibincangkan bersama ahli-ahli exco dan pemimpin Bidayuh lain.
Pencapaian Pandelela itu sekali gus meletakkan penerjun itu sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik.



Luorang mungkin belum baca

0 comments:

Post a Comment

Advertisements

Advertisements